Tuesday, September 14, 2010

Gear 2


Selamat Hari Raya

Aku mempunyai seorang adik yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang pharmacy di UITM. Baru-baru ini beliau telah diarahkan ke Sabah, satu berita yang menyedihkan ibu. Maklumlah, selama ini dia adalah “supir” yang setia.

Apa yang menarik ialah, dalam proses “berkemas” untuk ke Sabah, beberapa rahsia telah terbongkar. Antaranya ialah 4 buah Perodua Viva yang dibeli atas namanya (student?) untuk tujuan kereta sewa. Kesemuanya dibeli tanpa membayar satu sen pun wang deposit. Kutipan kasar sebuah kereta adakalanya melebihi RM1500 sebulan. Sekiranya ditolak wang ansuran dan belanja penyelenggaraan, masih banyak lagi yang berbaki dari hasil sewa tadi……..Money out of thin air!

Sejak tahun 1971, bila bank pusat tidak perlu lagi menyandarkan wang yang dicetak dengan simpanan emas, idea tentang bagaimana kekayaan itu dicipta telah berubah sama sekali.Secara tidak langsung, Rule of the game tentang wang dan kekayaan telah ditulis semula menyebabkan idea-idea sebelum ini sudah tidak relevan lagi. Ini disebabkan oleh lahirnya "anak luar nikah" dari sistem baru ini yang diberi nama INFLASI.


"Man is a tool-using animal. Without tools he is nothing, with tools he is all" (Thomas Carlyle)

Allah telah mengurniakan manusia dengan Akal yang menjadikan kita berbeza dengan haiwan. Dengan Akal, manusia mencipta pelbagai alat yang memungkinnya menguasai dunia. Dengan alat, manusia dapat mengatasi haiwan yang lebih kuat. Dengan alatlah manusia dapat mengatasi manusia lain yang tidak tahu menggunakannya. Dengan alat jugalah, golongan kaya menjadi semakin kaya dan menguasai ekonomi.

Dalam sistem kapitalisma, Bank merupakan alat terpenting yang dicipta untuk membekalkan usahawan dengan pembiayaan. Pembiayaan bank memungkinkan usahawan untuk mengatasi masalah halangan modal. Dengan pembiayaan, seorang usahawan mampu menggandakan kekuatan modalnya sehingga 9 kali ganda (hanya dengan 10% deposit) atau seperti contoh kereta sewa tadi, berpuluh-puluh kali ganda kerana tidak memerlukan sebarang sandaran tunai atau aset. Individu yang menyedari tentang kekuatan (dan juga kelemahan) alat ini akan menghabiskan masa dan tenaganya untuk mempelajari bagaimana caranya untuk mengekslploit potensi yang ada padanya. Jika alat ini berada di dalam gengaman seorang usahawan yang mahir, kekayaan boleh dijana hanya bermodalkan tangan kosong!

Sebaliknya, golongan yang jahil dan tidak mahu berusaha mempelajarinya (ignorance), yang bergantung kepada kebolehan dan kekuatan fizikal semata-mata akan semakin jauh ditinggalkan...........biarpun gigih bekerja siang dan malam.


"Bankers know that history is inflationary and that money is the last thing a wise man will hoard" (William J. Durrant)

Persoalannya sekarang, adakah idea-idea lama seperti menabung dan mencarum masih lagi relevan dalam zaman sekarang? Jawapannya ialah YA dan TIDAK, bergantung matlamat kewangan anda.

Aku teringat tahun 1999 ketika aku sibuk membuat persiapan untuk mendirikan rumahtangga, nilai semasa emas ialah sekitar RM40.00/gram. Tahun 2010, nilai emas telah menjadi RM140.00/gram. Begitu juga komoditi penting lain seperti gula dan tepung. Harga telah meningkat sebanyak 3 kali ganda. Ini adalah kesan penawaran wang yang semakin meningkat di dalam pasaran yang menyebabkan susutnilai matawang yang digunakan, bukan semata-mata kerana faktor permintaan terhadap komoditi yang semakin meningkat (scarcity in the economy) .
Sekarang cuba sama-sama kita fikirkan;
  • Adakah relevan sekiranya kita menyimpan dalam satu skim tabungan yang menawarkan kadar 8% setahun selama sepuluh tahun, sedangkan kadar inflasi meningkat lebih 3 kali ganda dalam masa 10 tahun?
  • Bagaimana pula jika kadarnya Cuma 4% setahun?
  • Berapa pula kadar caruman KWSP?
  • Berapa jumlah yang masih berbaki dari gaji anda yang anda mampu simpan?
  • Bagaimana jika gaji anda sekarang dipotong 50% dan hidup pada tahun 2020?
  • Berapa pula nilai RM1 juta pada tahun 2020?

"Hunting is not a sport. In a sport, both sides should know they're in the game" (Paul Rodriguez)

Golongan pekerja dan golongan usahawan menyimpan wang mereka atas sebab-sebab yang sangat berbeza. Masalah golongan kaya ialah memikirkan bagaimana caranya mengurus lebihan tunai yang dijana dari aset-asetnya ( kerana biasanya, sebahagian kecil sahaja digunakan untuk keperluan peribadi). Selain dari itu, mereka juga perlu bersedia dengan tuntutan-tuntutan dan komitmen-komitmen luar jangka yang tidak boleh diselesaikan dengan cara menjual aset-aset berkecairan rendah (rumah, tanah, aset-aset tetap dll). Dua faktor ini menyebabkan mereka perlu menyimpan dalam bentuk simpanan tetap, ASB, Mutual Fund, Insuran dan seumpamanya.

Golongan kaya tidak bekerja untuk wang. Sebaliknya, wang yang bekerja untuk mereka. Kekayaan mereka dijana oleh aset-aset yang dibina bertahun-tahun selama ini, bukannya hasil dari simpanan di dalam Bank. Simpanan hanya sekadar persinggahan sementara wang mereka.

Malang bagi golongan pekerja, mereka masih berpegang pada idea menabung untuk menjadi kaya. Tanpa mereka sedari (atau sengaja tidak mahu sedar) wang yang disimpan ini pula yang digunakan oleh golongan kaya untuk membiayai perniagaan. Jurang pengetahuan dan skil yg dimiliki oleh golongan usahawan/kapitalis ini, ditambah dengan faktor nisbah pendapatan golongan usahawan yang lebih produktif, telah menyebabkan pertarungan antara dua golongan ini semakin berat sebelah. Infasi pula telah memburukkan lagi keadaan kerana ia memberikan kesan langsung ke atas pendapatan pengguna. Inflasi mengurangkan jumlah pendapatan sebenar golongan pekerja sedangkan golongan usahawan pula imun terhadap inflasi…....mereka hanya perlu menaikkan harga barang.

Yang Kaya tetap semakin kaya.....

Tuesday, September 7, 2010

Gear 1

Apa kata kalau kita membuka sedikit minda kita dan berfikir di luar tempurung perkauman tanpa menyebut kaum melayu, cina dan india.

Matlamat utama dasar seperti DEB ialah untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum. Bagaimana kalau kita rephrase kenyataan itu kepada merapatkan jurang pendapatan di antara golongan miskin dan golongan kaya? Mungkin dengan cara itu kita boleh meluaskan pandangan kita supaya kita jelas dengan isu utama dan memudahkan kita mengenalpasti punca masalah, lebih mudah untuk mencari (kemungkinan) penyelesaiannya.


Sejak dahulu, banyak konflik manusia berpunca dari perbezaan jurang pendapatan di antara golongan kaya dan miskin, penentangan golongan pekerja terhadap pemodal (capitalist) sehingga menyebabkan berlaku revolusi dan pertumpahan darah seterusnya membawa kepada timbulnya idea sosialisma dan komunisma. Persoalannya, kenapa dua orang manusia yang tinggal di satu kawasan yang sama, dianugerahi dengan akal dan tubuh badan yang sama menjadi dua golongan yang berbeza – kaya dan miskin?

"It will never have enough power until I can spin the wheels at the end of the straightaway in high gear." (Mark Donahue)

Semasa aku aktif dalam sukan permotoran, aku selalu berbincang berkenaan isu nisbah gear atau gear ratio yang sesuai untuk kereta lumba. Dalam perlumbaan kereta, nisbah gear yang betul boleh menjadi faktor yang menentukan siapa juara di antara dua orang pelumba. Begitu juga halnya dalam masalah jurang pendapatan. Ada perbezaan yang besar diantara income ratio di antara pekerja dan pemodal (usahawan)

Golongan pekerja bergantung kepada satu punca pendapatan sahaja iaitu upah atau gaji. Jumlah upah berkadar terus dengan kerja dan masa. Maknanya, seorang pekerja hanya mampu melaksanakan 1 kerja dalam 1 masa tertentu atau dalam bentuk nisbahnya 1:1 (1 orang : 1 kerja). Walaupun seorang itu mempunyai 2 pekerjaan, pekerjaan tetap dan pekerjaan sambilan, dia hanya mampu melakukan 1 kerja dalam 1 masa juga. Oleh kerana itu, seorang pekerja hanya mempunyai 2 cara sahaja untuk meningkatkan pendapatannya samada meningkatkan kadar upahnya melalui kenaikan gaji atau menambahkan pendapatan dengan meningkatkan jumlah kerja. Maka kita boleh simpulkan bahawa penambahan pendapatan golongan pekerja meningkat secara increamental. Golongan yang bekerja sendiri (self-employed) seperti golongan professional (doktor, peguam, arkitek dll), petani, nelayan, kontraktor dan sebagainya juga terikat dengan nisbah ini.

Golongan pemodal (usahawan) agak berbeza nisbah pendapatannya. Usahawan menumpukan seluruh usaha untuk membina aset-aset yang menjana pendapatan. Berikut ialah salah satu contoh nisbah seorang usahawan;

1:5 rangkaian pasaraya
1:5 unit kedai sewa.
1:10 unit pangsapuri
1:100,000 unit saham
1:RM200,000 Simpanan Tetap

Dari contoh di atas, kita boleh lihat bahawa seorang usahawan mempunyai pelbagai sumber pendapatan yang menjana pendapatan. Yang lebih menarik, kesemua asetnya bergerak secara auto-pilot dan tidak terikat dengan jumlah kerja yang mampu dilakukan olehnya dalam satu masa. Maknanya, kenaikan pendapatan golongan usahawan meningkat secara exponential atau gandaan sehingga mencapai satu tahap, akan berlaku quantum leap dalam jumlah kekayaanya. Fasa ini berlaku bila jurang pendapatan terlalu jauh meninggalkan kelompok yang lain – The first Million is always the hardest…


Fenomena ini mungkin boleh diterangkan oleh Metcalfe's Law (Robert Metcalfe, pengasas 3Com) yg menyatakan The economic power of a business is the square of the number in the network. Sebagai contoh, sekiranya wujud sebuah handphone sahaja di dunia ini, nilai ekonominya ialah 1²=1 (tiada faedahnya sebuah handphone, tidak boleh berkomunikasi/sms). Tetapi bila sudah wujud unit kedua, nilai ekonominya menjadi 2²=4. Cuba kirakan jumlah nilai ekonomi untuk 100 unit, 1000 unit, 10,000 unit dan seterusnya!

Aku berpendapat bahawa faktor utama yang menyebabkan wujudnya jurang pendapatan antara dua individu adalah ditentukan oleh nisbah pendapatan yang dipilih oleh individu itu sendiri samada dia memilih untuk berada dalam kelompok pekerja atau usahawan. Oleh kerana itu, satu-satunya cara untuk seorang pekerja merapatkan jumlah pendapatannya ialah dengan menjadikan dirinya seorang pemodal atau usahawan juga.

Persoalannya sekarang ;
  • Apakah definasi pembuat dasar kita berkenaan makna seorang “Usahawan”?
  • Adakah dengan memberikan projek dan kontrak semata-mata akan menjadikan seorang itu seorang usahawan?
  • Adakah seorang birokarat yang mempunyai kelulusan akademik yang tinggi mampu memikirkan cara untuk melahirkan seorang usahawan?
  • Apakah tujuan sistem pendidikan akademik? Melahirkan golongan pekerja yang terlatih atau seorang golongan usahawan yang berjaya?
Di hadapan kita sudah terbentang sebuah lebuhraya yang luas terbuka untuk semua. Cuma mungkin kita perlu memikirkan semula, adakah kita telah memilih nisbah gear yang betul?.....
....atau mungkin selama ini kita sebenarnya berada dalam kenderaan yang salah.

Payung Bertongkat Bengkok

Titik titik air berbulir memenuhi segala sisi ruang
Dengan kuas kecil memberi nuansa kesedihan
Semua hidup tak pernah cerah, sama saja disini dan disana
Sehingga payung bertongkat bengkok tak bisa sempurna menyelimutnya

Begitulah bunyinya serangkap puisi seorang sasterawan tanah seberang yang aku sendiri tidak faham maksudnya…sekadar penghias post aku hari ini hahaha… Sebenarnya hari ini aku ingin bercerita tentang bola.

Liga X, anjuran Persatuan Bolasepak X (FAX) hanya disertai oleh pemain-pemain berbangsa melayu dan cina sahaja. Peraturan FAX telah menetapkan bahawa setiap pasukan mesti diwakili oleh sekurang-kurangnya 5 orang pemain melayu dan bakinya ialah pemain cina. Lazimnya, pemain-pemain berbangsa cina mempunyai kelebihan dari segi fizikal, stamina lebih tinggi dan keupayaan teknikal dan taktikal yang lebih baik dari pemain melayu. Atas faktor-faktor ini, pemain cina dibayar lebih tinggi dari pemain melayu.

Oleh kerana FAX ingin merapatkan jurang pendapatan antara pemain melayu dan cina, satu peraturan ganjil telah diperkenalkan. Pemain-pemain cina tidak dibenarkan memakai but bolasepak biasa. Mereka hanya dibenarkan memakai but futsal yang tidak mempunyai stud. Tujuannya agar pemain-pemain melayu kelihatannya sama hebat dengan pemain cina ketika beraksi di atas padang (kerana pemain cina tidak boleh berlari dan menendang bola seperti biasa).

Bagi menambah penyertaan pemain melayu dalam Liga X pula, pemain-pemain melayu tidak perlu lulus Cooper Test, satu ujian fizikal untuk menentukan tahap stamina seorang ahli sukan. Hanya pemain-pemain cina sahaja yang perlu melepasi ujian ini yang memang bukan menjadi satu masalah yang besar untuk diatasi oleh mereka kerana telah mula berlatih sejak kecil lagi.

Oleh kerana bangsa cina memang sudah terdidik dengan semangat kerja keras, mereka tidak menganggap peraturan baru itu sebagai satu halangan. Mereka bukan sahaja berlatih lebih gigih, malah secara senyap mereka telah berpakat untuk membuat hantaran sesama mereka sahaja ketika beraksi di padang. Hasilnya, peraturan baru itu tidak memberi kesan pada corak permainan mereka. Pemain-pemain cina tetap hebat ketika beraksi di liga tempatan.

Lain pula halnya dengan pemain melayu, peraturan baru ini tidak menyelesaikan masalah teras pemain-pemain melayu iaitu kurang kekuatan fizikal dan stamina serta kelemahan dari segi aspek teknikal dan taktikal. Malah lebih buruk lagi, timbul budaya pilih kasih diperingkat grassroot apabila pegawai-pegawai FA negeri memilih sanak saudara dan sahabat handai untuk diserapkan ke dalam pasukan negeri. Ini menyebabkan pemain-pemain yang benar-benar layak telah diketepikan.

Setelah 30 tahun dilaksanakan, peraturan-peraturan ini mula menunjukkan kesannya. Pemain-pemain melayu masih lagi di takuk lama manakala pemain terbaik dan penjaring terbanyak Liga X masih lagi dikuasai pemain cina. Bolasepak moden bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal semata-mata, malah pemain-pemain juga perlu mempunyai footballing intelegence - kerana seorang pemain yang baik ialah seorang individu yang mempunyai kebijaksanaan dan mampu menggunakan logik akalnya mengeksploit kelemahan pihak lawan dan mencapai kemenangan dengan segala kelebihan yang dimilikinya.

"Teaching a beggar to catch fish is better than giving them a fish in charity"

Mungkin kita perlu mengambil pengajaran dengan mengetahui serba sedikit tentang sejarah hidup orang-orang seperti Bill Gates, Micheal Dell, Mark Zuckerberg, Soichiro Honda, Robert Kuok, Lim Goh Tong, Syed Mokhtar (mujur ada wakil), Lee Shin Cheng dan ramai lagi. Perhatikan sejarah hidup mereka terutama ketika mereka masih remaja. Apakah persamaan yang dikongsi oleh mereka?

Kadangkala, penyelesaian satu masalah itu sebenarnya ringkas dan mudah.

Monday, September 6, 2010

Umat Maksum

(Sedutan dari perbincangan aku dalam sebuah forum maya berkenaan topik keusahawanan)

Bro A : Kenapa usahawan muda tidak dibantu dari segi modal (pinjaman) dan latihan. Aku dah 5 tahun meniaga tak pernah dapat tawaran kursus perniagaan ker, survive sendiri sajela jawabnya...

Aku : Bro, Selama ngko meniaga ni, ada tak engko buat account, book keeping atau apa2 rekod keluar masuk duit, inventori, overhead etc?

Bro A : dulu penah la , lepas 2 tahun tak buat lagi sbb aku malas nak buat pinjaman aku try survive modal sendiri

Aku : (patut la pun...)

Dr. Philip George Zimbardo dalam syarahannya yang bertajuk The Secret Powers of Time menerangkan, ada 3 golongan manusia yang memilih untuk hidup dalam 6 zon masa yang berbeza. Tingkahlaku mereka bergantung kepada persepsi masa masing-masing iaitu ;
  1. Past Oriented People yang dipengaruhi pengalaman silam samada pahit atau manis,
  2. Present Oriented People, golongan yang mengejar kenikmatan jangka pendek dan mengelak dari bersusah payah. Mereka adalah kelompok yang percaya bahawa kebajikan dan masa depan seseorang ditentukan oleh sistem tertentu yang diterima pakai oleh masyarakat di mana dia tinggal, bukannya tanggungjawab individu itu sendiri. Ada juga yang percaya bahawa keadaan hidup yang dinikmatinya sekarang ditentukan oleh takdir (jadi, tak perlu lah bersusah payah)
  3. Future Oriented People pula percaya bahawa masa depan seseorang ditentukan oleh keputusan dan tindakan yang dibuat hari ini. Mereka berpendapat bahawa di dalam zaman Broadband yang serba laju ini, seorang individu perlu dinamik dan proaktif agar seiring dengan perubahan persekitaran yang cepat dan tidak menentu.

If you've got one finger pointing at someone else, you've got the rest of them pointing back at you

Aku sebenarnya tertarik dengan reaksi orang melayu dalam menghadapi sesuatu isu. Tiap kali kita buka satu topik dalam forum maya atau Facebook, berkenaan isu pembuangan bayi misalnya, masyarakat kita akan menuding kepada semua pihak selain dirinya sendiri. Pada mereka, tanggungjawab dan beban mendidik masyarakat terletak pada institusi pendidikan dan kerajaan, maka wajarlah mereka yang dipersalahkan.

Serupa juga dengan isu kelemahan ekonomi dan kemiskinan. Orang melayu cenderung untuk menyalahkan dasar ekonomi yang tidak cekap, masalah rasuah, kronisma, kapitalisma dan akhirnya kepada kaum Yahudi yang kononnya menguasai ekonomi dunia. Dalam isu kemiskinan pula, kita selalu menyalahkan kelemahan agensi-agensi tertentu dalam memberikan bantuan, orang kaya rakus yang merebut semua peluang dan yang paling mudah, ketentuan Takdir.

Golongan middle class melayu juga tidak jauh bezanya. Masih lagi percaya kepada security dan memilih untuk menyerahkan urusan kewangan dan masa tuanya kepada syarikat tempat dia bekerja, KWSP, ASB, mutual fund dan kerajaan sendiri.

Golongan peniaga dan usahawan menyalahkan kontrak-kontrak kerajaan yang semakin sukar diperolehi, bayaran lewat, tiada bantuan, tiada
pinjaman kewangan, tiada orang dalam, melayu sendiri tak mau tolong melayu....
..Umat Melayu, Umat Maksum....

Aku teringat
Dr. Zimbardo dalam ceramahnya ada menyebut " The closer you are to the equator, the more present oriented you are.."


Saturday, September 4, 2010

Tempurung




Sukar sungguh untuk menyusun ayat pertama blog terbaru aku kali ini. Ramalan dua tahun dulu benar-benar menjadi kenyataan - blog pertama aku termasuk dalam statistik jutaan blog yang terbengkalai hahaha..

"We learned more from our mistake than from our successes"

Banyak peristiwa besar telah berlaku dalam hidup aku sepanjang 2 tahun yang lalu. Banyak kejayaan dan yang lebih penting, kegagalan yang aku lalui menjadikan aku seorang yang agak berbeza berbanding sebelum ini. Yang jelas, pandangan aku tentang beberapa perkara terutamnya dalam hal kekeluargaan, politik, masyarakat dan agama telah banyak berubah. Mungkin atas faktor umur yang semakin meningkat, penglibatan aku dalam aktiviti kemasyarakatan semakin bertambah yang mungkin sedikit sebanyak telah mendedahkan aku kepada realiti sebenar kehidupan masyarakat kita orang melayu.

Persoalan paling hangat diperkatakan sejak PRU12 yang lalu ialah tentang masa depan ketuanan orang melayu. Setengah pihak terutamanya dari UMNO menganggap pengundi melayu telah memperjudikan nasib mereka sendiri dengan memberi sokongan kepada pakatan pembangkang. Mereka mendakwa bahawa perjuangan orang melayu masih banyak lagi yang belum selesai terutamanya dalam memperkasa ekonomi bumiputra yang nyata jauh ditinggalkan oleh bangsa lain terutamnya bangsa cina. Dalam hal ini, aku mempunyai pandangan yang sedikit berbeza. Aku berpandangan bahawa punca masalah yang membawa kepada kemunduran ekonomi orang melayu sekarang ini telah bermula sejak 5o tahun dulu lagi.

"Man is not the creature of circumstances; circumstances are the creatures of men" (Benjamin Disraeli)

Pada Julai 1981, seorang doktor perubatan bernama Mahathir Mohamad telah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Beliau merupakan seorang pemimpin melayu yang bersemangat tinggi yang percaya bahawa kelemahan ekonomi orang melayu adalah disebabkan oleh faktor keturunan dan asal usul orang melayu yang merupakan penduduk asal tanah melayu itu sendiri. Beliau memperkenalkan beberapa dasar affirmative melalui DEB dengan tujuan meningkatkan lagi peluang orang melayu dalam persaingan ekonomi yang nyata menyebelahi kaum cina.

Beliau merupakan penyokong teori Survival of the fittest. Beliau berpendapat bahawa orang cina lebih maju dari segi eknomi kerana mereka berasal dari keturunan yang telah mengharungi pelbagai rintangan untuk sampai ke Tanah Melayu sebelum ini. Perjuangan orang cina bermula dari pelayaran itu lagi dengan keadaan muatan kapal yang penuh sesak dan mencabar itu membuatkan mereka lebih tabah dan gigih. Hal ini berbeza dengan bangsa Melayu yang apabila lahir sahaja ke mukabumi, mereka telah punyai tanah untuk diusahakan dengan keadaan cuaca yang baik serta kekayaan sumber semulajadi yang melimpah ruah. Keadaan ini membuatkan mereka mengambil sikap "sambil lewa" terhadap sumber-sumber kehidupan yang ada.

Aku bersetuju dengan dengan hujah beliau berkenaan punca kelemahan orang melayu dalam bidang ekonomi. Cuma yang menghairankan aku ialah, dasar-dasar yang diperkenalkan oleh beliau berlawanan dengan tujuan asal survival of the fittest tadi (Melahirkan bangsa yang terkuat). Walaupun DEB berjaya mengagihkan sumber kekayaan dan menghadkan daya saing kaum cina, DEB gagal untuk menyelesaikan masalah pokok - Memperkasa jati diri orang melayu. Dasar yang dirancang melalui DEB era beliau telah menjadikan orang melayu lebih "manja" manakala ahli perniagaan cina yang menghadapi halangan perniagaan, bertindak balas dengan mengamalkan dasar oligopolik (cartel) seterusnya menguatkan lagi monopoli mereka dalam ekonomi. DEB mungkin relevan sekiranya dilaksanakan dalam persekitaran ekonomi tahun 1960-1980. Tapi untuk persekitaran ekonomi terbuka dan global zaman Information Edge sekarang ini, dasar ala DEB akan menyebabkan orang melayu menjadi bangsa yang obselete dalam masa yang singkat sahaja.

We can't solve problems by using the same kind of thinking we used when we created them.” (Albert Enstein)

Kelemahan "Payung" yang menaungi orang melayu ialah, itulah satu-satunya Payung yg kita ada untuk dibuat berteduh. Payung ini terlalu kecil untuk dijadikan tempat bernaung dan terlalu rapuh untuk menahan hebatnya hujan lebat angin perubahan zaman ini. Malangnya, ada pula yang secara sedar atau tidak telah menjadikan Payung ini sebagai "momok"...kononnya jika Payung ini terbang melayang, ke mana lagi orang kita nak berteduh. Kita takut, sikap ignorance dan manipulative golongan ini akan memudaratkan kita bila Payung ini benar-benar terbang melayang ditiup angin satu hari nanti.

Apa yang sepatutnya kita lakukan ialah sama-sama mengambil inisiatif untuk mengubah nasib diri kita sendiri. Kita mesti berani untuk menjengah keluar dari keselesaan "Rumah Tempurung" yang kita diami selama ini dan bersedia untuk menerima konteks realiti hidup sebenar yang sebenarnya luas terbentang di luar sana. Kita perlu disedarkan dengan hakikat bahawa pengetahuan membuat Payung ini adalah wujud dan boleh dipelajari oleh semua orang. Jadi tidak perlulah kita menuding jari menyalahkan orang lain bila hujan ribut melanda nanti kerana masing-masing sudah mempunyai payung sendiri. Matlamat akhir kita ialah untuk membina sebuah "Rumah Batu" yang teguh, yang cukup besar dan kuat untuk kita semua berlindung dari hujan panas ribut taufan, cukup teguh untuk terus berdiri tegak dan menaungi anak cucu kita, generasi demi generasi.

"To succeed is very easy. All you have to do is to work hard, study hard, strive, struggle...Dia tak nak. Kalau boleh dapat AP, jual AP cukuplah. That is all that they want" (Tun Mahathir Mohamad, Ogos 15 2007 )

Telah terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit telah kita bazirkan untuk mempertahankan perbezaan pendapat sesama kita dengan pelbagai slogan dan retorik politik, sehingga kita terlupa bahawa penyelesaian kepada segala permasalahan itu seharusnya bermula dari setiap individu melayu yang hidup diatas muka bumi ini.

Blog ini adalah satu sumbangan kecil yang aku mampu berikan kepada rakan-rakan sebangsa yang sama-sama percaya dan yakin bahawa kekuatan untuk melakukan perubahan wujud dalam diri kita sendiri.

Sebelum terlupa, rhetorist tidak dialu-alukan disini. Sila layari blog-blog politik yang berlambak-lambak diluar sana.
Sekian, harap maklum.