Tuesday, September 7, 2010

Gear 1

Apa kata kalau kita membuka sedikit minda kita dan berfikir di luar tempurung perkauman tanpa menyebut kaum melayu, cina dan india.

Matlamat utama dasar seperti DEB ialah untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum. Bagaimana kalau kita rephrase kenyataan itu kepada merapatkan jurang pendapatan di antara golongan miskin dan golongan kaya? Mungkin dengan cara itu kita boleh meluaskan pandangan kita supaya kita jelas dengan isu utama dan memudahkan kita mengenalpasti punca masalah, lebih mudah untuk mencari (kemungkinan) penyelesaiannya.


Sejak dahulu, banyak konflik manusia berpunca dari perbezaan jurang pendapatan di antara golongan kaya dan miskin, penentangan golongan pekerja terhadap pemodal (capitalist) sehingga menyebabkan berlaku revolusi dan pertumpahan darah seterusnya membawa kepada timbulnya idea sosialisma dan komunisma. Persoalannya, kenapa dua orang manusia yang tinggal di satu kawasan yang sama, dianugerahi dengan akal dan tubuh badan yang sama menjadi dua golongan yang berbeza – kaya dan miskin?

"It will never have enough power until I can spin the wheels at the end of the straightaway in high gear." (Mark Donahue)

Semasa aku aktif dalam sukan permotoran, aku selalu berbincang berkenaan isu nisbah gear atau gear ratio yang sesuai untuk kereta lumba. Dalam perlumbaan kereta, nisbah gear yang betul boleh menjadi faktor yang menentukan siapa juara di antara dua orang pelumba. Begitu juga halnya dalam masalah jurang pendapatan. Ada perbezaan yang besar diantara income ratio di antara pekerja dan pemodal (usahawan)

Golongan pekerja bergantung kepada satu punca pendapatan sahaja iaitu upah atau gaji. Jumlah upah berkadar terus dengan kerja dan masa. Maknanya, seorang pekerja hanya mampu melaksanakan 1 kerja dalam 1 masa tertentu atau dalam bentuk nisbahnya 1:1 (1 orang : 1 kerja). Walaupun seorang itu mempunyai 2 pekerjaan, pekerjaan tetap dan pekerjaan sambilan, dia hanya mampu melakukan 1 kerja dalam 1 masa juga. Oleh kerana itu, seorang pekerja hanya mempunyai 2 cara sahaja untuk meningkatkan pendapatannya samada meningkatkan kadar upahnya melalui kenaikan gaji atau menambahkan pendapatan dengan meningkatkan jumlah kerja. Maka kita boleh simpulkan bahawa penambahan pendapatan golongan pekerja meningkat secara increamental. Golongan yang bekerja sendiri (self-employed) seperti golongan professional (doktor, peguam, arkitek dll), petani, nelayan, kontraktor dan sebagainya juga terikat dengan nisbah ini.

Golongan pemodal (usahawan) agak berbeza nisbah pendapatannya. Usahawan menumpukan seluruh usaha untuk membina aset-aset yang menjana pendapatan. Berikut ialah salah satu contoh nisbah seorang usahawan;

1:5 rangkaian pasaraya
1:5 unit kedai sewa.
1:10 unit pangsapuri
1:100,000 unit saham
1:RM200,000 Simpanan Tetap

Dari contoh di atas, kita boleh lihat bahawa seorang usahawan mempunyai pelbagai sumber pendapatan yang menjana pendapatan. Yang lebih menarik, kesemua asetnya bergerak secara auto-pilot dan tidak terikat dengan jumlah kerja yang mampu dilakukan olehnya dalam satu masa. Maknanya, kenaikan pendapatan golongan usahawan meningkat secara exponential atau gandaan sehingga mencapai satu tahap, akan berlaku quantum leap dalam jumlah kekayaanya. Fasa ini berlaku bila jurang pendapatan terlalu jauh meninggalkan kelompok yang lain – The first Million is always the hardest…


Fenomena ini mungkin boleh diterangkan oleh Metcalfe's Law (Robert Metcalfe, pengasas 3Com) yg menyatakan The economic power of a business is the square of the number in the network. Sebagai contoh, sekiranya wujud sebuah handphone sahaja di dunia ini, nilai ekonominya ialah 1²=1 (tiada faedahnya sebuah handphone, tidak boleh berkomunikasi/sms). Tetapi bila sudah wujud unit kedua, nilai ekonominya menjadi 2²=4. Cuba kirakan jumlah nilai ekonomi untuk 100 unit, 1000 unit, 10,000 unit dan seterusnya!

Aku berpendapat bahawa faktor utama yang menyebabkan wujudnya jurang pendapatan antara dua individu adalah ditentukan oleh nisbah pendapatan yang dipilih oleh individu itu sendiri samada dia memilih untuk berada dalam kelompok pekerja atau usahawan. Oleh kerana itu, satu-satunya cara untuk seorang pekerja merapatkan jumlah pendapatannya ialah dengan menjadikan dirinya seorang pemodal atau usahawan juga.

Persoalannya sekarang ;
  • Apakah definasi pembuat dasar kita berkenaan makna seorang “Usahawan”?
  • Adakah dengan memberikan projek dan kontrak semata-mata akan menjadikan seorang itu seorang usahawan?
  • Adakah seorang birokarat yang mempunyai kelulusan akademik yang tinggi mampu memikirkan cara untuk melahirkan seorang usahawan?
  • Apakah tujuan sistem pendidikan akademik? Melahirkan golongan pekerja yang terlatih atau seorang golongan usahawan yang berjaya?
Di hadapan kita sudah terbentang sebuah lebuhraya yang luas terbuka untuk semua. Cuma mungkin kita perlu memikirkan semula, adakah kita telah memilih nisbah gear yang betul?.....
....atau mungkin selama ini kita sebenarnya berada dalam kenderaan yang salah.

No comments:

Post a Comment