Tuesday, September 14, 2010

Gear 2


Selamat Hari Raya

Aku mempunyai seorang adik yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang pharmacy di UITM. Baru-baru ini beliau telah diarahkan ke Sabah, satu berita yang menyedihkan ibu. Maklumlah, selama ini dia adalah “supir” yang setia.

Apa yang menarik ialah, dalam proses “berkemas” untuk ke Sabah, beberapa rahsia telah terbongkar. Antaranya ialah 4 buah Perodua Viva yang dibeli atas namanya (student?) untuk tujuan kereta sewa. Kesemuanya dibeli tanpa membayar satu sen pun wang deposit. Kutipan kasar sebuah kereta adakalanya melebihi RM1500 sebulan. Sekiranya ditolak wang ansuran dan belanja penyelenggaraan, masih banyak lagi yang berbaki dari hasil sewa tadi……..Money out of thin air!

Sejak tahun 1971, bila bank pusat tidak perlu lagi menyandarkan wang yang dicetak dengan simpanan emas, idea tentang bagaimana kekayaan itu dicipta telah berubah sama sekali.Secara tidak langsung, Rule of the game tentang wang dan kekayaan telah ditulis semula menyebabkan idea-idea sebelum ini sudah tidak relevan lagi. Ini disebabkan oleh lahirnya "anak luar nikah" dari sistem baru ini yang diberi nama INFLASI.


"Man is a tool-using animal. Without tools he is nothing, with tools he is all" (Thomas Carlyle)

Allah telah mengurniakan manusia dengan Akal yang menjadikan kita berbeza dengan haiwan. Dengan Akal, manusia mencipta pelbagai alat yang memungkinnya menguasai dunia. Dengan alat, manusia dapat mengatasi haiwan yang lebih kuat. Dengan alatlah manusia dapat mengatasi manusia lain yang tidak tahu menggunakannya. Dengan alat jugalah, golongan kaya menjadi semakin kaya dan menguasai ekonomi.

Dalam sistem kapitalisma, Bank merupakan alat terpenting yang dicipta untuk membekalkan usahawan dengan pembiayaan. Pembiayaan bank memungkinkan usahawan untuk mengatasi masalah halangan modal. Dengan pembiayaan, seorang usahawan mampu menggandakan kekuatan modalnya sehingga 9 kali ganda (hanya dengan 10% deposit) atau seperti contoh kereta sewa tadi, berpuluh-puluh kali ganda kerana tidak memerlukan sebarang sandaran tunai atau aset. Individu yang menyedari tentang kekuatan (dan juga kelemahan) alat ini akan menghabiskan masa dan tenaganya untuk mempelajari bagaimana caranya untuk mengekslploit potensi yang ada padanya. Jika alat ini berada di dalam gengaman seorang usahawan yang mahir, kekayaan boleh dijana hanya bermodalkan tangan kosong!

Sebaliknya, golongan yang jahil dan tidak mahu berusaha mempelajarinya (ignorance), yang bergantung kepada kebolehan dan kekuatan fizikal semata-mata akan semakin jauh ditinggalkan...........biarpun gigih bekerja siang dan malam.


"Bankers know that history is inflationary and that money is the last thing a wise man will hoard" (William J. Durrant)

Persoalannya sekarang, adakah idea-idea lama seperti menabung dan mencarum masih lagi relevan dalam zaman sekarang? Jawapannya ialah YA dan TIDAK, bergantung matlamat kewangan anda.

Aku teringat tahun 1999 ketika aku sibuk membuat persiapan untuk mendirikan rumahtangga, nilai semasa emas ialah sekitar RM40.00/gram. Tahun 2010, nilai emas telah menjadi RM140.00/gram. Begitu juga komoditi penting lain seperti gula dan tepung. Harga telah meningkat sebanyak 3 kali ganda. Ini adalah kesan penawaran wang yang semakin meningkat di dalam pasaran yang menyebabkan susutnilai matawang yang digunakan, bukan semata-mata kerana faktor permintaan terhadap komoditi yang semakin meningkat (scarcity in the economy) .
Sekarang cuba sama-sama kita fikirkan;
  • Adakah relevan sekiranya kita menyimpan dalam satu skim tabungan yang menawarkan kadar 8% setahun selama sepuluh tahun, sedangkan kadar inflasi meningkat lebih 3 kali ganda dalam masa 10 tahun?
  • Bagaimana pula jika kadarnya Cuma 4% setahun?
  • Berapa pula kadar caruman KWSP?
  • Berapa jumlah yang masih berbaki dari gaji anda yang anda mampu simpan?
  • Bagaimana jika gaji anda sekarang dipotong 50% dan hidup pada tahun 2020?
  • Berapa pula nilai RM1 juta pada tahun 2020?

"Hunting is not a sport. In a sport, both sides should know they're in the game" (Paul Rodriguez)

Golongan pekerja dan golongan usahawan menyimpan wang mereka atas sebab-sebab yang sangat berbeza. Masalah golongan kaya ialah memikirkan bagaimana caranya mengurus lebihan tunai yang dijana dari aset-asetnya ( kerana biasanya, sebahagian kecil sahaja digunakan untuk keperluan peribadi). Selain dari itu, mereka juga perlu bersedia dengan tuntutan-tuntutan dan komitmen-komitmen luar jangka yang tidak boleh diselesaikan dengan cara menjual aset-aset berkecairan rendah (rumah, tanah, aset-aset tetap dll). Dua faktor ini menyebabkan mereka perlu menyimpan dalam bentuk simpanan tetap, ASB, Mutual Fund, Insuran dan seumpamanya.

Golongan kaya tidak bekerja untuk wang. Sebaliknya, wang yang bekerja untuk mereka. Kekayaan mereka dijana oleh aset-aset yang dibina bertahun-tahun selama ini, bukannya hasil dari simpanan di dalam Bank. Simpanan hanya sekadar persinggahan sementara wang mereka.

Malang bagi golongan pekerja, mereka masih berpegang pada idea menabung untuk menjadi kaya. Tanpa mereka sedari (atau sengaja tidak mahu sedar) wang yang disimpan ini pula yang digunakan oleh golongan kaya untuk membiayai perniagaan. Jurang pengetahuan dan skil yg dimiliki oleh golongan usahawan/kapitalis ini, ditambah dengan faktor nisbah pendapatan golongan usahawan yang lebih produktif, telah menyebabkan pertarungan antara dua golongan ini semakin berat sebelah. Infasi pula telah memburukkan lagi keadaan kerana ia memberikan kesan langsung ke atas pendapatan pengguna. Inflasi mengurangkan jumlah pendapatan sebenar golongan pekerja sedangkan golongan usahawan pula imun terhadap inflasi…....mereka hanya perlu menaikkan harga barang.

Yang Kaya tetap semakin kaya.....

No comments:

Post a Comment