Saturday, September 4, 2010

Tempurung




Sukar sungguh untuk menyusun ayat pertama blog terbaru aku kali ini. Ramalan dua tahun dulu benar-benar menjadi kenyataan - blog pertama aku termasuk dalam statistik jutaan blog yang terbengkalai hahaha..

"We learned more from our mistake than from our successes"

Banyak peristiwa besar telah berlaku dalam hidup aku sepanjang 2 tahun yang lalu. Banyak kejayaan dan yang lebih penting, kegagalan yang aku lalui menjadikan aku seorang yang agak berbeza berbanding sebelum ini. Yang jelas, pandangan aku tentang beberapa perkara terutamnya dalam hal kekeluargaan, politik, masyarakat dan agama telah banyak berubah. Mungkin atas faktor umur yang semakin meningkat, penglibatan aku dalam aktiviti kemasyarakatan semakin bertambah yang mungkin sedikit sebanyak telah mendedahkan aku kepada realiti sebenar kehidupan masyarakat kita orang melayu.

Persoalan paling hangat diperkatakan sejak PRU12 yang lalu ialah tentang masa depan ketuanan orang melayu. Setengah pihak terutamanya dari UMNO menganggap pengundi melayu telah memperjudikan nasib mereka sendiri dengan memberi sokongan kepada pakatan pembangkang. Mereka mendakwa bahawa perjuangan orang melayu masih banyak lagi yang belum selesai terutamanya dalam memperkasa ekonomi bumiputra yang nyata jauh ditinggalkan oleh bangsa lain terutamnya bangsa cina. Dalam hal ini, aku mempunyai pandangan yang sedikit berbeza. Aku berpandangan bahawa punca masalah yang membawa kepada kemunduran ekonomi orang melayu sekarang ini telah bermula sejak 5o tahun dulu lagi.

"Man is not the creature of circumstances; circumstances are the creatures of men" (Benjamin Disraeli)

Pada Julai 1981, seorang doktor perubatan bernama Mahathir Mohamad telah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Beliau merupakan seorang pemimpin melayu yang bersemangat tinggi yang percaya bahawa kelemahan ekonomi orang melayu adalah disebabkan oleh faktor keturunan dan asal usul orang melayu yang merupakan penduduk asal tanah melayu itu sendiri. Beliau memperkenalkan beberapa dasar affirmative melalui DEB dengan tujuan meningkatkan lagi peluang orang melayu dalam persaingan ekonomi yang nyata menyebelahi kaum cina.

Beliau merupakan penyokong teori Survival of the fittest. Beliau berpendapat bahawa orang cina lebih maju dari segi eknomi kerana mereka berasal dari keturunan yang telah mengharungi pelbagai rintangan untuk sampai ke Tanah Melayu sebelum ini. Perjuangan orang cina bermula dari pelayaran itu lagi dengan keadaan muatan kapal yang penuh sesak dan mencabar itu membuatkan mereka lebih tabah dan gigih. Hal ini berbeza dengan bangsa Melayu yang apabila lahir sahaja ke mukabumi, mereka telah punyai tanah untuk diusahakan dengan keadaan cuaca yang baik serta kekayaan sumber semulajadi yang melimpah ruah. Keadaan ini membuatkan mereka mengambil sikap "sambil lewa" terhadap sumber-sumber kehidupan yang ada.

Aku bersetuju dengan dengan hujah beliau berkenaan punca kelemahan orang melayu dalam bidang ekonomi. Cuma yang menghairankan aku ialah, dasar-dasar yang diperkenalkan oleh beliau berlawanan dengan tujuan asal survival of the fittest tadi (Melahirkan bangsa yang terkuat). Walaupun DEB berjaya mengagihkan sumber kekayaan dan menghadkan daya saing kaum cina, DEB gagal untuk menyelesaikan masalah pokok - Memperkasa jati diri orang melayu. Dasar yang dirancang melalui DEB era beliau telah menjadikan orang melayu lebih "manja" manakala ahli perniagaan cina yang menghadapi halangan perniagaan, bertindak balas dengan mengamalkan dasar oligopolik (cartel) seterusnya menguatkan lagi monopoli mereka dalam ekonomi. DEB mungkin relevan sekiranya dilaksanakan dalam persekitaran ekonomi tahun 1960-1980. Tapi untuk persekitaran ekonomi terbuka dan global zaman Information Edge sekarang ini, dasar ala DEB akan menyebabkan orang melayu menjadi bangsa yang obselete dalam masa yang singkat sahaja.

We can't solve problems by using the same kind of thinking we used when we created them.” (Albert Enstein)

Kelemahan "Payung" yang menaungi orang melayu ialah, itulah satu-satunya Payung yg kita ada untuk dibuat berteduh. Payung ini terlalu kecil untuk dijadikan tempat bernaung dan terlalu rapuh untuk menahan hebatnya hujan lebat angin perubahan zaman ini. Malangnya, ada pula yang secara sedar atau tidak telah menjadikan Payung ini sebagai "momok"...kononnya jika Payung ini terbang melayang, ke mana lagi orang kita nak berteduh. Kita takut, sikap ignorance dan manipulative golongan ini akan memudaratkan kita bila Payung ini benar-benar terbang melayang ditiup angin satu hari nanti.

Apa yang sepatutnya kita lakukan ialah sama-sama mengambil inisiatif untuk mengubah nasib diri kita sendiri. Kita mesti berani untuk menjengah keluar dari keselesaan "Rumah Tempurung" yang kita diami selama ini dan bersedia untuk menerima konteks realiti hidup sebenar yang sebenarnya luas terbentang di luar sana. Kita perlu disedarkan dengan hakikat bahawa pengetahuan membuat Payung ini adalah wujud dan boleh dipelajari oleh semua orang. Jadi tidak perlulah kita menuding jari menyalahkan orang lain bila hujan ribut melanda nanti kerana masing-masing sudah mempunyai payung sendiri. Matlamat akhir kita ialah untuk membina sebuah "Rumah Batu" yang teguh, yang cukup besar dan kuat untuk kita semua berlindung dari hujan panas ribut taufan, cukup teguh untuk terus berdiri tegak dan menaungi anak cucu kita, generasi demi generasi.

"To succeed is very easy. All you have to do is to work hard, study hard, strive, struggle...Dia tak nak. Kalau boleh dapat AP, jual AP cukuplah. That is all that they want" (Tun Mahathir Mohamad, Ogos 15 2007 )

Telah terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit telah kita bazirkan untuk mempertahankan perbezaan pendapat sesama kita dengan pelbagai slogan dan retorik politik, sehingga kita terlupa bahawa penyelesaian kepada segala permasalahan itu seharusnya bermula dari setiap individu melayu yang hidup diatas muka bumi ini.

Blog ini adalah satu sumbangan kecil yang aku mampu berikan kepada rakan-rakan sebangsa yang sama-sama percaya dan yakin bahawa kekuatan untuk melakukan perubahan wujud dalam diri kita sendiri.

Sebelum terlupa, rhetorist tidak dialu-alukan disini. Sila layari blog-blog politik yang berlambak-lambak diluar sana.
Sekian, harap maklum.

2 comments: